MEI 2023

Jambatan Batang Paloh, Jambatan Muara Lassa Dijangka Siap Disember 2024


DARO: Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah optimis kerja-kerja pembinaan projek jambatan Batang Paloh di Tanjung Manis dan Muara Lassa di sini akan siap menjelang Disember tahun depan. 

Menurutnya, projek pembinaan jambatan Batang Paloh sepanjang 1.7 kilometer (km) yang bernilai RM298 juta telah siap 58.33 peratus berbanding jadualnya pada 63.88 peratus.

“Ia menghadapi masalah menyaksikan kapal, tongkang dan sebagainya melanggar tiang keenam dan ketujuh, lalu merosakkan tiang berkenaan.

“Ia menjejaskan aliran kerja kerana kontraktor perlu melakukan pembaikan,” katanya semasa mengadakan lawatan kerja ke tapak projek jambatan itu di sini, semalam.

Beliau yakin permasalahan itu ada penyelesaian.

Justeru, katanya, bagi menyelesaikan masalah berkenaan, Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan (MIPD), Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Residen dan Daerah akan bermesyuarat dengan agensi berkaitan dalam masa yang terdekat. 

Sementara itu, menjelas mengenai pelaksanaan projek pembinaan jambatan Muara Lassa yang berharga RM597 juta, Uggah berkata beliau berpuas hati dengan kemajuannya yang selari dengan jadual serta prestasi baik ditunjukkan kontraktor. 

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Ir. Aidel Lariwoo dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad.

Sumber dari : Jiwa Bakti